fb fb fb fb fb

Anak Sarawak bersedia terajui ekonomi baharu

Tan Sri Abang Johari berucap pada Majlis Makan Malam Lan Berambeh Anak Sarawak 2024 di MITEC, Kuala Lumpur, malam tadi

KUALA LUMPUR, 20 Oktober - Sarawak akan mempunyai lebih ramai lagi bakal pemimpin muda yang mempunyai visi untuk menerajui ekonomi baharu yang giat dibangunkan negeri itu.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg optimis anak-anak Sarawak memahami hala tuju agenda pembangunan kepimpinannya dan kerajaan persekutuan ketika ini.

Kebolehan itu katanya boleh dilihat menerusi sesi Townhall 'Sarawak Agenda bersama Premier Sarawak' yang menyaksikan ramai pelajar berani tampil untuk berkongsi idea dan memberi cadangan.

“Mereka sudah berbicara tentang perihal pembuatan kapal terbang, roket, satelit dan juga semikonduktor yang merupakan antara komponen asas ekonomi baharu. Mungkin suatu hari nanti, Sarawak akan mengeluarkan kapal terbang dan satelit sendiri,” katanya.

Pada masa sama, beliau meminta agar anak Sarawak di perantauan terus menjaga perpaduan dan keharmonian yang menjadi identiti negeri itu.

Tan Sri Abang Johari berucap demikian pada Majlis Makan Malam Lan Berambeh Anak Sarawak 2024 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, malam tadi.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Sarawak, Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.

Trainee2