
KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Anak muda tidak perlu menunggu jawatan rasmi untuk membuktikan kepimpinan, sebaliknya perlu menterjemahkan ilmu, kemahiran dan pengaruh kepada tindakan yang membawa manfaat kepada masyarakat.
- Kepimpinan era teknologi perlu berteraskan nilai, visi dan tanggungjawab.
- Inovasi dan penggunaan AI mesti disertai integriti serta pertimbangan baik untuk menyelesaikan masalah dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
- Pendidikan, latihan TVET dan kerjasama antarabangsa penting untuk atasi perubahan iklim, keselamatan makanan dan penggunaan teknologi bertanggungjawab.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kepimpinan dalam era perubahan teknologi pesat perlu berteraskan tiga asas utama, iaitu nilai, visi dan tanggungjawab.
“Tindakan kecil seperti membimbing pelajar lain, mewujudkan peluang pekerjaan atau menyelesaikan masalah masyarakat mampu membawa perubahan besar kepada kehidupan seseorang,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada sidang kemuncak iFUTURE 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Menurutnya, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan inovasi perlu disertai integriti serta pertimbangan yang baik, dengan keberkesanannya dinilai berdasarkan keupayaan menyelesaikan masalah dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan, latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta kerjasama antarabangsa dalam menangani cabaran perubahan iklim, keselamatan makanan dan penggunaan teknologi secara bertanggungjawab.
Sidang kemuncak bertemakan “Values, Vision and Responsibility: Leadership in the Global Era” itu menghimpunkan lebih 1,200 pemimpin pelajar dari 60 negara.
Fadillah turut mencabar peserta supaya mengenal pasti satu masalah, memulakan tindakan konkrit dan membina kerjasama bagi memastikan perbincangan sepanjang sidang kemuncak diterjemahkan kepada hasil yang nyata.