fb fb fb fb fb

Akta sedia ada sudah cukup untuk kawal selia isu 3R - Shamsul Anuar

Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR, 14 November- Tiada cadangan untuk menggubal akta khusus berkaitan agama, bangsa dan institusi diraja (3R), setakat ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, akta sedia ada sudah mencukupi bagi mengawal selia isu berkenaan.

Sebarang isu menyentuh perkara itu akan disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpandukan ketetapan dalam Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang lain yang dikuatkuasakan menerusi Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Misalnya, sebarang perbuatan atau perkataan yang boleh mencetuskan ketidakharmonian agama akan disiasat mengikut Seksyen 298 dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan di bawah Akta Hasutan 1948.

"Selain itu, Seksyen 505 Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan bagi kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam. Secara spesifik, Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan adalah berkaitan kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak mengapikan atau mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain.

"Ini bermakna, apa-apa jua perbuatan, kenyataan, hantaran, ucapan, penerbitan dan seumpamanya yang bertentangan dengan undang-undang yang dinyatakan adalah tidak dibenarkan, jika ia menyentuh isu-isu 3R.

"Siasatan boleh dijalankan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada," katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat.

SITI AISHAH BINTI MD ISA