fb fb fb fb fb

Akta Anak Negeri Labuan akan diwujudkan

LABUAN, 6 Mei- Undang-undang khusus berkaitan Akta Anak Negeri akan diwujudkan di Labuan bagi memartabatkan sistem kehakiman anak negeri di wilayah itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata satu sistem perundangan khusus yang melaksanakan undang-undang berkaitan adat dan budaya bumiputera perlu diwujudkan di Labuan.
 
Ini bagi memastikan perkhidmatan yang disampaikan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
 
"Kita berharap dengan wujudnya undang-undang khusus, masyarakat akan lebih mempunyai keyakinan untuk merujuk sebarang permasalahan mereka berkaitan pentadbiran anak negeri, sijil anak negeri, pendaftaran perkahwinan juga isu-isu lain melibatkan keistimewaan dan kepentingan anak negeri kepada mahkamah anak negeri di Labuan ini," kata Armizan dalam sidang media khas, selepas mengadakan perjumpaan bersama kakitangan pejabat Mahkamah Anak Negeri Labuan di sini

Tambah beliau, ketika ini Mahkamah Anak Negeri Labuan melaksanakan proses perundangan berdasarkan enakmen berkaitan anak negeri yang diguna pakai di negeri Sabah.
 
Oleh itu sudah tiba masanya undang-undang khusus untuk Labuan digubal menjadi dasar kepada perundangan anak negeri Labuan.

 

(Datuk Armizan berkata Akta Anak Negeri Labuan akan diwujudkan)
 

Media Baharu