AKPS sasar lantik 220 veteran ATM perkukuh kawalan sempadan negara

Foto Bernama

KAJANG,13 April – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menyasarkan pelantikan 220 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai Pengawal Sempadan Malaysia (MBG) menjelang hujung tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif memperkukuh kawalan sempadan negara dengan penglibatan veteran berpengalaman sebagai aset strategik.
  • Penempatan awal 48 anggota MBG di tiga lokasi utama: KLIA, Pelabuhan Klang dan ibu pejabat AKPS.
  • Kerajaan memperuntuk RM8 juta menerusi Belanjawan 2026 untuk pengambilan kumpulan berpengalaman ini.
  • Pengambilan melalui saringan ketat termasuk ujian psikometrik, fizikal, sesi temuduga; kontrak kumpulan pertama ditetapkan setahun.

Langkah itu bertujuan memperkukuh kawalan sempadan negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebagai permulaan, 48 anggota MBG telah ditempatkan di tiga lokasi utama, melibatkan 31 anggota di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 14 di Pelabuhan Klang dan tiga lagi di ibu pejabat AKPS.

Menurut beliau, pelantikan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan menerusi Belanjawan 2026, dengan peruntukan sebanyak RM8 juta khusus bagi pengambilan kumpulan berpengalaman tersebut.”

“Kesemua mereka akan ditempatkan mengikut penugasan serta deskripsi tugas di bawah AKPS, dan kita akan mengambil kira pengalaman serta kemahiran mereka.

“Golongan ini bukan rekrut biasa, sebaliknya merupakan aset penting dalam memperkukuh keupayaan kawalan sempadan negara,” jelas beliau selepas merasmikan Majlis Peluncuran Inisiatif MBG Veteran ATM 2026 AKPS di Maktab Penjara Malaysia di sini.

Hadir sama, Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman.

Dalam pada itu, Datuk Seri Saifuddin menegaskan semua pengambilan tetap melalui proses saringan ketat termasuk ujian psikometrik, fizikal dan sesi temuduga bagi memastikan standard perkhidmatan dipatuhi.

Sementara itu, kontrak perkhidmatan bagi kumpulan pertama ditetapkan selama setahun sebagai permulaan.