fb fb fb fb fb

Aidilhadha: PM Anwar terima panggilan telefon daripada Erdogan

FOTO FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 17 Jun- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan hari ini berbalas ucapan selamat menyambut Aidiladha, selain berharap hubungan kedua-dua negara terus diperkukuh.

Anwar berkata, Malaysia dan Turkiye turut senada untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan khususnya di Gaza, malah Erdogan turut berkongsikan pengalamannya dalam menyatakan kebimbangan serta protes kepada pembunuhan beramai-ramai di Gaza dalam Sidang Kemuncak Kumpulan Tujuh (G7)  di Itali yang dihadirinya baru-baru ini.

"Saya turut menerima panggilan telefon daripada sahabat baik saya Presiden Recep Tayyip Erdogan.

"Kesempatan yang ada juga kami gunakan untuk mengulangi komitmen dalam mengukuhkan kerjasama dalam pertahanan, ekonomi, budaya, perdagangan, pelaburan antara kedua-dua negara," kata Anwar menerusi Facebook beliau.

Anwar memaklumkan beliau juga sempat mengulangi jemputan kepada Erdogan untuk melawat Malaysia pada Julai atau Ogos tahun ini.

Beliau memberi jaminan lawatan berkenaan akan menjadi lebih bermakna kerana ia seiring ulang tahun ke-60 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Turkiye pada 17 Jun 1964 serta Perkongsian Strategik 10 Tahun antara kedua-dua negara.

SITI AISHAH MD ISA