KUALA LUMPUR, 29 November- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitipkan doa agar semua penduduk terjejas banjir di tujuh negeri diberikan perlindungan, ketabahan serta kesabaran oleh Allah SWT.
"Ya Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, kami memohon kepada-Mu agar Engkau melindungi saudara-saudara kami yang sedang diuji dengan musibah banjir.
"Limpahkanlah kepada mereka kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini," demikian doa Seri Paduka Baginda dalam hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.
Sultan Ibrahim turut mendoakan keselamatan pegawai serta anggota agensi penyelamat yang terlibat dalam operasi menyelamat penduduk.
Yang di-Pertuan Agong juga mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) supaya memastikan kemudahan di pusat pemindahan sementara (PPS) berada dalam keadaan baik dan bantuan juga disampaikan kepada penduduk terjejas.
"Keadaan cuaca ketika ini tidak menentu dan orang ramai perlu sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga serta sentiasa peka dengan arahan pasukan keselamatan," titah Seri Paduka Baginda.