fb fb fb fb fb

Agong berkenan berangkat ke Majlis Hari Raya Pemangku Raja Pahang

KUANTAN, 24 April- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di Istana Abdulaziz, Kuantan.

Majlis rumah terbuka di perkarangan istana itu berlangsung selama dua jam bermula pukul 11.00 pagi merupakan kali pertama diadakan semula untuk rakyat jelata selepas dihentikan sementara ekoran pandemik COVID-19. 

Pada majlis itu, Baginda juga berkenan menyantuni rakyat jelata termasuk 64 orang penghuni Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajah Kalsom dan Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah, yang dijemput bagi memeriahkan majlis tersebut. 

Anakanda-anakanda baginda turut berangkat ke majlis itu yang juga dihadiri barisan pentadbiran Pahang, diketuai Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta ketua jabatan dan agensi di negeri ini. 

Meskipun cuaca panas, ribuan rakyat berbilang kaum tidak melepaskan peluang untuk hadir selain merasai sendiri pelbagai jenis biskut raya resipi Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Selain itu, tetamu yang hadir juga disajikan pelbagai makanan tradisional hari raya antaranya lemang, ketupat dan rendang, masakan tradisional Pahang seperti laksa Pahang dan opor daging serta juadah popular Pantai Timur iaitu nasi dagang. 

Sementara itu, mereka yang hadir sangat teruja apabila berpeluang meraikan sambutan hari raya Aidilfitri bersama Baginda Yang Dipertuan Agong dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di istana.

Menurut tetamu yang hadir Norhaniza Ahmad Sabri, "saya pertama kali berjumpa dan bertentang mata dengan Tuanku dan saya dapat lihat suasana di sekitar sini, seronok sangat, anak-anak pun seronok. Selain itu, kita boleh makan."

Bagi Mogenes a/p Ravichandran, "suasana di sini sangat meriah. Saya kagum melihat suasana yang harmoni, semua bersemangat datang walaupun cuaca agak panas. Semua yang datang gembira dan ini juga kali pertama saya tengok ramai yang datang. Saya sangat seronok."

(Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah)

 

Media Baharu