GEORGE TOWN, 25 Februari- Lima agenda utama akan dikemukakan Malaysia dalam Sesi Permukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) yang akan berlangsung di Pulau Pinang, esok.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia melibatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber, keselamatan maritim, pasukan penyelamat bencana dan kemanusian ASEAN, rantaian pembekalan pertahanan serantau dan bio sekuriti.
Sesi permukiman itu bagi bertukar pendapat dan mencapai kesepakatan dalam semua aspek terbabit, selain memperkukuh kerjasama pertahanan negara ASEAN dalam menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks.
Ini terutama untuk menyeragamkan fungsi-fungsi agenda tersebut antara negara-negara ASEAN dalam usaha untuk menangani pelbagai cabaran serantau secara bersama.
Ia termasuk meningkatkan keupayaan respon terhadap apa jua ancaman dan risiko yang dihadapi rantau ini, selain penekanan soal kerjasama, perpaduan, solidariti dan sebagainya.
"Jadi ini semua kita perlu bekerjasama, mula bincang antara negara-negara ASEAN, pandangan Malaysia untuk dijadikan sebagai antara yang boleh kalau diterima, bincang pada bulan November yang melibatkan menteri-menteri pertahanan.
"Seperti kita sedia maklum, ASEAN merupakan satu kawasan dan satu kerjasama serantau yang antara lain bertujuan untuk memastikan kita dapat mewujudkan keamanan, kestabilan, keselamatan serantau dan tentunya dalam soal untuk memastikan perkara ini dapat dijayakan. Ia melibatkan juga sektor pertahanan yang tanggungjawabnya dimainkan oleh semua menteri-menteri pertahanan dalam negara ASEAN", katanya.
Kira-kira 159 delegasi dari 10 negara anggota ASEAN, Timor-Leste dan Sekretariat ASEAN dijangka menghadiri acara tersebut.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi tinjauan mesra sebagai persediaan ADMM, esok.