fb fb fb fb fb

Abdul Taib sambung penggal ketiga sebagai TYT Sarawak


KUALA LUMPUR, 1 Mac-  Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud pada Isnin menerima surat cara pelantikan bagi menyambung khidmatnya selama dua tahun daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di sini.

Ini merupakan penggal ketiga Abdul Taib dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak, mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sarawak.

Lantikan pertama adalah pada 1 Mac 2014 hingga 28 Februari 2018, manakala lantikan kedua pada 1 Mac 2018 hingga 28 Februari 2022.

Istiadat Pengurniaan Surat cara Pelantikan Kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Antara menteri yang hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawa), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hasbi Habibollah.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud (dua, kanan) hadir pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan  di Singgahsana Kecil, Istana Negara/BERNAMA)


Abdul Taib pernah memegang jawatan ketua menteri selama 33 tahun sejak 26 Mac 1981 setelah menggantikan bapa saudaranya, Tun Abdul Rahman Ya'kub.

Beliau pernah berkhidmat sebagai hakim bersekutu di Mahkamah Agung Australia Selatan selepas menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang di University of Adelaide, sebelum kembali ke Sarawak.

Beliau yang dilahirkan pada 21 Mei 1936, merupakan anak sulung kepada pasangan Mahmud Abang Yahya dan Hamidah Ya'kub

Media Baharu