
PANGKOR, 19 Oktober – Seramai 778 sukarelawan dari 18 universiti awam (UA) seluruh negara digerakkan bagi membantu penduduk terjejas banjir kilat yang melanda Pulau Pangkor pada Ahad.
- Misi disertai 625 pelajar dan 153 staf universiti, menunjukkan penglibatan signifikan mahasiswa dan kakitangan dalam operasi bantuan.
- Serahan 520 sumbangan termasuk bakul makanan, toto, bantal dan makanan retort bagi meringankan beban mangsa banjir.
- Aksi pembersihan melibatkan sekurang-kurangnya 150 rumah di Kampung Masjid, Kampung Teluk Kecil, Sungai Pinang dan Kampung Cina Pangkor.
- Penyelarasan pantas menerusi MASKUM dan sokongan Pasukan ResQ UPSI memperkemas logistik, latihan khusus dan operasi di lapangan.
Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam merangkap Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, Misi Sukarelawan Mega@Pangkor itu disertai 625 pelajar dan 153 staf.
Selain misi bantuan membersih kawasan terjejas, turut disalurkan 520 sumbangan berupa bakul makanan, toto, bantal dan makanan retort bagi meringankan beban mangsa yang terjejas.
Jelasnya penglibatan pelbagai universiti dalam misi berkenaan mencerminkan semangat kebersamaan institusi pendidikan tinggi dalam membantu masyarakat yang berdepan musibah.
“Semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh seluruh universiti awam hari ini membuktikan bahawa institusi pengajian tinggi tidak pernah terpisah daripada nadi masyarakat.
“Misi Sukarelawan Mega di Pangkor ini ialah penterjemahan solidariti kita untuk bersama-sama mendepani ujian yang dihadapi rakyat,” katanya menerusi kenyataan.
Banjir kilat itu berlaku pada awal pagi susulan hujan lebat berterusan selama kira-kira dua jam, menyebabkan air naik dengan cepat sehingga memasuki kediaman penduduk sebelum beransur surut sekitar 9.00 pagi Ahad.
Menurut Md Amin, sukarelawan dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut kawasan agihan bantuan dan kerja-kerja pembersihan yang melibatkan sekurang-kurangnya 150 rumah kediaman.
“Kawasan terlibat ialah Kampung Masjid yang melibatkan 100 rumah, Kampung Teluk Kecil (10 rumah), Kampung Sungai Pinang Besar (10 rumah), Kampung Cina Sungai Pinang (30 rumah) dan Kampung Cina Pangkor,” ujar beliau.
Sementara itu, Pengerusi Timbalan-Timbalan Naib Canselor dan Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Awam merangkap Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata penyelarasan menerusi Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia (MASKUM) membolehkan tenaga sukarelawan daripada pelbagai universiti digembleng dalam tempoh singkat.
Beliau berkata penglibatan Pasukan ResQ UPSI bersama kekuatan logistik dan kepakaran dalam pembersihan bencana turut membantu melancarkan pergerakan serta operasi di lapangan.
“Penyelarasan pantas menerusi MASKUM membolehkan seluruh jaringan universiti awam digembleng secara sistematik dalam tempoh yang singkat.
“Kehadiran Pasukan ResQ UPSI bersama kekuatan logistik dan latihan khusus pembersihan bencana turut menjadi tulang belakang yang melancarkan pengurusan pergerakan serta operasi menyelamat di lapangan,” katanya.
Wakil pelajar UPSI, Muhammad Hassan Sheikh Alrisid Movidin, 21, berkata kesediaan mahasiswa daripada pelbagai universiti untuk turun padang menunjukkan komitmen mereka dalam membantu masyarakat yang ditimpa musibah.
Katanya pengorbanan masa dan tenaga oleh para sukarelawan mencerminkan keprihatinan mahasiswa terhadap nasib penduduk yang terjejas.
Seorang lagi peserta misi dari Universiti Utara Malaysia, Muhammad Amir Hakimi Mohd Raizol, 20, berkata pengalaman menyertai misi berkenaan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama.