
KUALA LUMPUR, 19 Oktober – Lebih RM28.28 bilion ringgit telah diperuntukkan bagi kesemua Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negara.
- JPS menjalankan kajian teknikal menyeluruh termasuk pengiraan taburan hujan dan kedalaman untuk merancang RTB mengurangkan risiko banjir.
- Projek Lembangan Sungai Pinang Fasa 1 dijangka siap September 2027; mitigasi jangka pendek dibiayai RM8 juta dan RM450,000 untuk Jelutong.
- Projek Tumpat dan Rantau Panjang bernilai RM3 bilion; kerajaan peruntuk RM2.5 bilion lagi dalam Belanjawan 2027, sebanyak 154 projek keseluruhan.
Bercakap dalam sidang Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata projek RTB terbaharu yang diluluskan, antaranya melibatkan projek di Jerantut dan Lipis, Pahang.
Beliau turut menjelaskan, kajian menyeluruh dilaksanakan bagi memastikan setiap projek dirancang berdasarkan keperluan serta penilaian teknikal sebenar, sekali gus mengurangkan risiko banjir kepada penduduk.
“Sudah pastilah pihak kami di PETRA, khususnya JPS, akan membuat kajian seluruh negara, bukan Pahang sahaja. Bukan sahaja di Jerantut, Jerantut pun ada kita buat RTB, Lipis pun kita baru dapat kelulusan RTB. Maknanya seluruh negara yang melibatkan lebih kurang 28 bilion, 28.284 bilion seluruh negara.
“Sudah pasti JPS akan membuat kajian sebenar. Ia tidak akan dibuat sewenang-wenangnya. Kita buat pengiraan taburan hujan, pengiraan kedalaman, serta pengiraan dari segi teknikal yang kita ambil 100 tahun. Maknanya kita mahu mengurangkan risiko yang dihadapi seluruh rakyat negara kita ini,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah, di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, projek RTB Lembangan Sungai Pinang, Pulau Pinang Fasa 1 yang bertujuan mengurangkan risiko banjir di Jelutong dan kawasan sekitarnya, dijangka siap pada September 2027.
Sementara menunggu projek itu siap, PETRA menerusi JPS turut melaksanakan langkah mitigasi jangka pendek di bawah Projek Pemuliharaan Sungai, termasuk pengaluran sungai, penstabilan tebing serta naik taraf saluran dan struktur berkaitan.
“Pada tahun 2026, sebanyak RM8 juta diperuntukkan bagi program ini di Pulau Pinang. Daripada jumlah tersebut, RM450,000 diperuntukkan bagi kerja yang diluluskan di kawasan Parlimen Jelutong yang dijangka siap pada Disember 2026,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.
Datuk Seri Abdul Rahman turut memaklumkan projek RTB di Tumpat dan Rantau Panjang yang bersempadan dengan Thailand bernilai RM3 bilion, antara projek tebatan banjir terbesar di negara ini.
Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan projek RTB serta melaksanakan langkah mitigasi bersesuaian bagi memastikan usaha mengurangkan risiko banjir di kawasan terlibat dapat dilaksanakan secara berkesan.
Terdahulu, Datuk Seri Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, memaklumkan sebanyak RM2.5 bilion lagi diperuntukkan menerusi Belanjawan 2027 bagi bagi projek RTB.
Secara keseluruhan, terdapat 154 projek RTB di seluruh negara, menurut beliau dalam satu kenyataan pada 9 Oktober lalu.