fb fb fb fb fb

51 projek perumahan sakit di Pahang selesai

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Akmal Nasrullah Mohd Nasir

KUANTAN, 9 November - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenal pasti sebanyak 77 projek perumahan di Pahang yang masih dikategorikan sebagai projek sakit dan sembilan projek perumahan terbengkalai.

Timbalan Menterinya Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, sebanyak 51 projek perumahan sakit di negeri itu berjaya diselesaikan sejak pasukan Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta dan Terbengkalai (TFST) dilaksanakan.

47 daripadanya berjaya mendapat Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) manakala baki empat projek lagi, gerak kerjanya kembali lancar.

Antara punca yang dikenal pasti adalah bawah kawalan pemaju iaitu kegagalan mengurus projek dengan baik, sebagai contoh berlakunya kematian.

Selain itu juga berlaku kerana diluar kawalan pemaju iaitu sistem penyambungan utiliti tidak dapat dipenuhi syarikat penyambungan yang terlibat seperti air, elektrik dan sebagainya.

"Sebab itu komitmen daripad pihak KPT melalui pasukan petugas, mesej kami kepada pemaju adalah jelas, kamu kena buat projek tersebut daripada merancang, menjual dan sebagainya rumah itu kamu kena siapkan. Tetapi dalam keadaan sekarang apabila rumah itu sudah melewati tarikh sepatutnya, ramai pihak terkesan termasuklah paling kritikal atau kita bagi tumpuan adalah pihak pembeli," kata Akmal kepada pemberita selepas Lawatan Turun Padang, di sini bagi menggempur projek pembangunan swasta sakit bawah Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) dan bawah pemajuan Perbadanan PR1MA Malaysia.

Beliau menjangkakan kedua-dua projek itu dapat disiapkan sebelum hujung tahun ini.

Taman 1-Icon bawah PPAM melibatkan pembinaan 75 unit rumah teres dua tingkat telah mencapai kemajuan sebanyak 94% dan sepatutnya siap Mei tahun ini.

Namun projek yang bermula tahun 2020 tersebut masih belum memperoleh sijil CCC dan sehingga kini kerja-kerja bangunan telah siap sepenuhnya dan bakinya penyiapan hanyalah kerja-kerja insfrastruktur melibatkan sistem pembentungan dan kerja-kerja jalan.

Sementara Residensi D'Marina @Pinggiran Putra 2 bawah projek PRIMA merupakan projek sakit terdiri daripada 523 unit rumah teres dan hingga kini 98% telah terjual.

Projek itu telah siap sepenuhnya dengan status kemajuan sebanyak 99% dan kerja-kerja rektifikasi unit sedang giat dijalankan dan dijangka menerima CCC daripada Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) pada akhir bulan ini.

Katanya, pasukan khas TFST dengan kerjasama PRIMA, Jabatan Wilayah dan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan akan menyelesaikan 13 projek sakit PRIMA di seluruh negara sebelum hujung tahun hadapan.

TETITIA YUSOFF