fb fb fb fb fb

73 lagi tabika Kemas baharu dibina tahun depan

KUALA NERUS, 7 September- Sebanyak 73 lagi tabika Kemas baharu akan dibina di seluruh negara tahun depan.

Ini termasuk 10 buah di Terengganu, selari dengan pertambahan penduduk di sesebuah kawasan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ramlan Harun berkata pembukaan tabika baharu itu boleh menampung sehingga 1,825 murid atau 25 murid bagi setiap kelas.

Jelasnya, Kemas juga kearah memperkasakan sistem pendigitalan dengan menyediakan kemudahan seperti komputer riba, wifi serta televisyen pintar.

Ia untuk kegunaan 800 buah tabika di seluruh negara, bermula tahun depan.

"Pendigitalan ini sebenarnya kita nak dedahkan anak-anak pada peringkat awal...melalui program tersebut kita harap kita sediakan pelajar yang boleh bersaing pada masa depan.

"Kita tak nak ketinggalan dengan tabika lain, tabika yang dibuat oleh pihak swasta dan sebagainya," kata Ramlan.

(Datuk Ramlan Harun)

Beliau menyatakan demikian selepas merasmikan Program Hari Potensi Tabika Kemas Peringkat Negeri Terengganu 2022, di sini.

Sementara itu, sebanyak 400 buah tabika Kemas yang terjejas banjir awal tahun lalu sedang dibaikpulih di seluruh negara.

Kerja-kerja itu membabitkan peruntukan berjumlah RM9 juta.

Media Baharu