fb fb fb fb fb

672 sampel darah disasar di Sabah, perluas pelaksanaan Program MyGenom

FOTO Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)

KOTA KINABALU, 11 Julai – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan pengambilan sebanyak 672 sampel darah rakyat Sabah sebagai sebahagian daripada usaha memperluas pelaksanaan Program MyGenom ke seluruh negara.

Program tersebut diterajui bersama KKM dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), dengan matlamat membina genom rujukan Malaysia bagi memperkukuh sistem kesihatan berasaskan teknologi dan data genetik.

Ia sekali gus memberi peluang kepada rakyat untuk memahami keperluan rawatan serta ubat-ubatan yang lebih tepat dan bersesuaian berdasarkan maklumat genetik individu.

Menurut Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal, pendekatan ini penting bagi memastikan keberkesanan rawatan yang diterima.

“Kalau tanpa MyGenom ini, mungkin kita hanya ambil ubat yang kita sendiri tidak pasti sama ada ubat ini membantu menyihatkan kita dengan cepat atau tidak. Maka, MyGenom adalah satu pendekatan yang kerajaan ambil, ” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan pelancaran program berkenaan di Kota Kinabalu, hari ini.

Program MyGenom telah memasuki fasa pertama sejak Ogos 2024, melibatkan 3,600 peserta di seluruh negara sebagai sasaran awal.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, turut menjelaskan data yang diperoleh bakal membuka ruang kepada kaedah rawatan yang lebih terperinci dan bersasar.

“Menerusi sampel-sampel ini kelak, kita akan mewujudkan satu kaedah yang lebih spesifik dan data-driven berkenaan rawatan dan ubat yang bersesuaian dengan suasana serta konteks demografik di Malaysia ini,” katanya.

Program berkenaan dijangka memasuki fasa kedua tidak lama lagi dengan sasaran 10,000 genom merangkumi pelbagai etnik, lokaliti dan latar belakang, termasuk komuniti orang asli serta penduduk di kawasan pedalaman.

Data genomik itu akan digunakan secara berfasa dalam pengurusan penyakit kronik seperti jantung, kanser, diabetes dan juga penyakit jarang jumpa, seiring usaha ke arah penjagaan kesihatan yang lebih peribadi dan berimpak tinggi.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE