KULAI, 4 Januari- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya menarik 63,652 kandungan berunsur penipuan daripada media sosial pada tahun lalu.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara, berbanding 6,297 kandungan diturunkan pada 2023.
Kes-kes dikesan, melibatkan kecerdasan buatan (AI) seperti pemalsuan wajah (deepfake), selain menyamar menjadi individu ternama, penipuan grafik, video dan perkataan.
"...adalah sangat penting untuk kita mendidik masyarakat untuk bagaimana kita perlu peka dan prihatin dan perlu selalu membuat semakan dan pastikan tidak pasti jangan kongsi.
"Pada masa sama pihak platform perlu bertanggungjawab untuk memastikan bahawa apabila mereka hendak menerima duit daripada penipuan (scam) itu untuk mempromosikan sesuatu kandungan, mereka perlu sahkan konten berkenaan adalah tulen," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Kampung Angkat Madani, Felda Bukit Permai, di sini.
MCMC turut mengenal pasti banyak hantaran berbentuk 'Investment Guru' melibatkan suntingan wajah tokoh terkenal, di media sosial.
Bagaimanapun pihaknya berharap penyedia platform media sosial mengambil tanggungjawab dengan melakukan saringan lebih ketat, terhadap hantaran mempromosikan skim pelaburan.