
KUALA LUMPUR, 4 Mei– Pelaksanaan dasar berkaitan orang kurang upaya (OKU) dalam sektor pekerjaan masih perlu diperkukuhkan, meskipun pelbagai inisiatif sudah diperkenalkan oleh kerajaan.
- Muhammad Adib, penerima anugerah OKU, menggunakan alat bantuan pendengaran dan berkhidmat di UiTM.
- Kerajaan menyediakan kuota pekerjaan OKU dan bantuan seperti alat pendengaran; sokongan ini membantu penglibatan dalam pekerjaan.
- Beliau mencadangkan peningkatan kuota OKU daripada 1% kepada 5% untuk memperluas peluang pekerjaan.
- Terdapat jurang antara dasar dan realiti tempat kerja; industri perlu memperbaiki pelaksanaan supaya peluang dinikmati secara adil.
Penerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara kategori OKU 2026, Muhammad Adib Ibrahim yang mengalami masalah pendengaran jenis separa berkata, usaha kerajaan dalam menyediakan dasar dan bantuan kepada golongan OKU sememangnya sudah wujud, termasuk kuota pekerjaan OKU serta bantuan seperti alat bantuan pendengaran yang digunakannya dalam kehidupan harian.
Beliau yang memulakan kerjaya dalam sektor swasta sebelum beralih ke sektor awam dan kini berkhidmat di Universiti Teknologi MARA (UiTM), berkata sokongan yang diterima banyak membantu beliau untuk kekal aktif dalam dunia pekerjaan walaupun berdepan cabaran komunikasi harian.
Namun, beliau berpandangan pelaksanaan dasar di peringkat industri masih belum menyeluruh dan perlu diperkukuhkan.
Beliau turut berkata, masih ada ruang untuk penambahbaikan supaya lebih ramai golongan OKU benar-benar mendapat peluang pekerjaan yang setimpal, bukan sekadar wujud di atas kertas.
“Saya rasa dasar sedia ada, tak silap saya, 1% untuk golongan OKU itu telah wujud.
“Tetapi kalau tengok situasi sekarang, mungkin boleh dipertingkatkan lagi, contohnya 5%, sebab masih ramai OKU yang belum dapat peluang yang sewajarnya. Di situ peranan pihak berautoriti dan kerajaan untuk memperkasakan lagi agenda OKU di Malaysia,” katanya ketika ditemui di Angkasapuri.
Dalam masa sama, beliau turut menjelaskan masih ramai golongan OKU yang belum mendapat peluang pekerjaan yang setimpal walaupun pelbagai inisiatif telah diperkenalkan.
Beliau berkata situasi itu menunjukkan masih wujud jurang antara dasar yang dirangka dengan realiti di tempat kerja sebenar.
Justeru, beliau menegaskan penambahbaikan dalam pelaksanaan dasar di peringkat industri perlu diberi perhatian agar peluang yang ada dapat dinikmati secara lebih adil dan menyeluruh oleh golongan OKU.
Mengulas lanjut, beliau berkata setiap individu mempunyai potensi untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara, termasuk golongan OKU, jika diberikan ruang dan peluang yang sewajarnya.