Pasar Sejahtera Rakyat Perak bantu ringan kos sara hidup

Foto FB Saarani Mohamad

PARIT BUNTAR, 4 Mei – Pasar Sejahtera Rakyat Perak dilancarkan sebagai inisiatif membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Barangan keperluan ditawarkan sekurang-kurangnya 5 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.
  • Dilaksanakan di bawah Langkah Mitigasi Krisis Asia Barat April hingga Jun 2026 bagi meringankan tekanan kos sara hidup akibat krisis tenaga global.
  • Peruntukan RM3.7 juta tahun ini, termasuk RM2 juta untuk Pejabat Daerah dan RM1.2 juta bagi Jualan Sejahtera Rakyat.
  • Program diselaraskan pejabat daerah, diperluas ke semua DUN; MESRA menyediakan 77 kaunter, 84 peratus aduan telah diselesaikan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif itu menawarkan barangan keperluan asas sekurang-kurangnya lima peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

Ia dilaksanakan bawah Langkah Mitigasi Krisis Asia Barat Negeri Perak bagi tempoh April hingga Jun 2026 dalam usaha membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup ekoran krisis tenaga global.

Sebanyak RM3.7 juta diperuntuk bagi pelaksanaan inisiatif tersebut di seluruh negeri Perak pada tahun ini.

“Peruntukan itu merangkumi RM2 juta bagi pelaksanaan Pasar Sejahtera Rakyat Perak melalui Pejabat Daerah dan Tanah di setiap daerah dengan kekerapan secara berkala setiap bulan.

“Sebanyak RM1.2 juta pula diperuntukkan bagi Jualan Sejahtera Rakyat yang dilaksanakan di kesemua 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Yayasan Bina Upaya dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC),” katanya.

Menurut beliau, pelaksanaan program tersebut diselaraskan oleh Pejabat Daerah dan Tanah dan diperluas ke semua kawasan DUN bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat di peringkat akar umbi.

Beliau ditemui pemberita Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Siri Ketiga Tahun 2026 di Kompleks Pentadbiran Daerah Kerian di sini, hari ini.

Sementara itu, Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Siri Ketiga Tahun 2026 terus menjadi platform penting untuk kerajaan mendekati rakyat.

Sebanyak 77 kaunter khidmat pelanggan disediakan melibatkan pelbagai jabatan dan agensi, termasuk lima kaunter bergerak.

Bagi siri kali ini, sebanyak 140 aduan baharu direkodkan, menjadikan keseluruhan 460 aduan diterima setakat ini.

Daripada jumlah itu, 84 peratus atau 388 aduan berjaya diselesaikan, manakala baki 16 peratus masih dalam tindakan lanjut.