LABUAN, 19 Mei- Seramai 61 bakal Jemaah Haji dari Labuan akan menunaikan ibadah Haji pada tahun ini.
Daripada jumlah itu, 37 jemaah telah berlepas dari Lapangan Terbang Labuan ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu petang tadi, seterusnya akan berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada esok.
Jumlah keseluruhan Jemaah membabitkan 28 lelaki dan 33 orang perempuan berumur lingkungan 27 hingga 77 tahun.
Menurut Jali Aliskah yang ditemui RTM, dia berharap agar boleh melakukan ibadah haji dengan baik.
"Saya berbesar hati dan rasa bersyukur ke atas Ilahi kerana terpilih untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini. Syaa mengharapkan agar ibadah haji ini boleh dilakukan dengan baik," katanya.
Bagi Sukarno Mat Husain, dia menantikan hampir 16 tahun sebelum terpilih untuk mengerjakan haji pada tahun ini.
"Saya mendaftar sejak tahun 2009, jadi sekiranya ikut penggiliran tahun lepas tahun lepas sepatutnya saya pergi.
"Namun belum rezeki lagi, tahun ini alhamdulillah boleh dapat untuk menunaikan haji," katanya.
Sementara itu Norziman Saidid, meluahkan rasa syukur apabila terpilih untuk menunaikan haji pada tahun ini.
"Alhamdulillah sebab terpilih untuk menunaikan fardu haji rukun Islam kita. Saya memang rasa gembira dan bersyukur kepada Tuhan," katanya.
Dalam pada itu, para jemaah diingatkan supaya mematuhi undang-undang Kerajaan Arab Saudi dan mematuhi segala arahan Tabung Haji.
Sebelum berlepas, bakal jemaah haji diberikan taklimat oleh Pengurus Cawangan Tabung Haji (TH) Labuan, penyampaian tazkirah oleh pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan serta bacaan doa.