fb fb fb fb fb

5GB 'data raya': Mampu dekatkan keluarga jauh di mata

Khairul Izhar Singsan, Nurul Farhana Nabila Abdullah Safri dan Mohammad Izuan Isack ketika ditemui RTM di Labuan

LABUAN, 28 Mac - Masyarakat di Labuan akan memanfaatkan rebat internet 5GB Pakej Rahmah Aidilfitri untuk berhubung dengan ahli keluarga dan rakan yang jauh sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

Tinjauan RTM bersama orang ramai di sekitar kepulauan ini berkata, inisiatif itu bukan sahaja meringankan beban kos data, malah menggalakkan penggunaan teknologi ke arah mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Terutama menerusi panggilan video dan perkongsian gambar kenangan.

“Banyak kebaikan saya dapat. Dapat 5GB ni untuk hari raya, saya boleh buat panggilan video dengan keluarga yang jauh, lepas tu saya boleh kongsi gambar dan hantaran raya. Biasanya ramai akan tunjuk gaya pakaian raya masing-masing,” kata Nurul Farhana Nabila Abdullah Safri.

Bagi Khairul Izhar Singsan pula, rebat kuota itu menjadikan hubungan kekeluargaan lebih bermakna walaupun berada jauh di perantauan.

“Walaupun jauh, tetap dekat di hati. Kita boleh berhubung dengan keluarga melalui panggilan video dan berkongsi gambar kenangan manis sambutan Aidilfitri bersama ahli keluarga di kampung,” ujarnya.

Sementara itu, Mohammad Izuan Isack menyifatkan inisiatif itu sebagai bukti keprihatinan kerajaan dan mencadangkan agar kuota serta tempoh sah laku ditambah.

“Kalau boleh, tambah lagi tempoh dan kuota sebab penggunaan data sekarang sangat tinggi. Namun saya bersyukur kerana bantuan ini sekurang-kurangnya membolehkan masyarakat berhubung walaupun bukan secara fizikal,” katanya.

Pada Rabu, insentif berupa tambahan kuota data minimum 5GB secara percuma untuk semua pengguna prabayar dan pascabayar itu diumumkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Ia ditawarkan bagi tempoh minimum 24 jam pada hari raya pertama, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi terlibat.

BERITA BERKAITAN

 

GRACE AISYAH KEDAYAN