KUALA LUMPUR, 28 Mac- Kementerian Luar mengesahkan semua rakyat Malaysia di Myanmar dan Thailand berada dalam keadaan selamat selepas gempa bumi melanda negara itu.
Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Yangon dan Bangkok sedang memantau rapat situasi pasca dua gempa bumi kuat yang melanda Myanmar pada 28 Mac 2025.
"Semakan awal oleh Kedutaan Besar Malaysia di Yangon bersama komuniti rakyat Malaysia mendapati bahawa semua rakyat Malaysia berada dalam keadaan selamat dan tidak terjejas setakat ini", menurut Kementerian Luar menerusi kenyataan.
“Di Thailand, laporan awal turut mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang tercedera. Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok yang terletak di Kronos Office Tower telah ditutup sementara bagi tujuan penilaian keselamatan.
“Buat masa ini, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk tidak menghampiri kawasan premis Kedutaan yang sedia ada. Sekiranya berlaku kecemasan atau gegaran susulan yang kuat, rakyat Malaysia di Bangkok dinasihatkan untuk berkumpul di Kompleks Kedutaan bersebelahan Sathorn Garden dan bukan di lokasi Kronos Sathorn Tower.
Sementara itu, rakyat Malaysia yang berada atau dalam perjalanan ke Myanmar dan Thailand dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada, mengikuti perkembangan terkini daripada pihak berkuasa tempatan, dan mengambil semua langkah keselamatan yang perlu.
Gempa pertama dengan magnitud 7.7 berlaku sekitar pukul 1.00 tengah hari waktu tempatan, di Wilayah Sagaing, barat laut Myanmar, diikuti oleh gempa kedua dengan magnitud 6.4 tidak lama selepas itu.
Gegaran kedua-dua gempa ini dirasai bukan sahaja di Myanmar, tetapi juga di Chiang Mai, Bangkok dan Ho Chi Minh City.
“Menurut laporan media tempatan di Myanmar, darurat telah diisytiharkan di Wilayah Sagaing, Mandalay, Magway, Bago, Negeri Shan Timur dan Naypyidaw sementara pihak berkuasa sedang menilai tahap kerosakan akibat gempa bumi tersebut, menurut kenyataan itu.
"Di Thailand, sistem pengangkutan utama di Bangkok termasuk MRT, BTS dan kereta api lapangan terbang di Bangkok telah digantung operasi susulan gegaran tersebut. Perdana Menteri Thailand turut mengisytiharkan darurat di Bangkok, sementara penilaian tahap kerosakan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.
Malaysia turut merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada mangsa dan keluarga yang terjejas akibat bencana ini.