fb fb fb fb fb

Bayaran dam, korban Tanah Suci ditetapkan RM875 bagi seekor kibas

Bakal jemaah haji boleh membuat bayaran dam melalui aplikasi THiJARI atau di kaunter Tabung Haji seluruh negara sebelum berlepas ke Tanah Suci

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Lembaga Tabung Haji (TH) menetapkan kadar bayaran Dam dan penyertaan ibadah korban di Tanah Suci bagi musim haji tahun ini pada jumlah yang sama, iaitu sebanyak RM875 bagi seekor kibas.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Syed Hamadah Syed Othman, bakal jemaah haji boleh membuat bayaran Dam melalui aplikasi THiJARI atau di kaunter Tabung Haji seluruh negara sebelum berlepas ke Tanah Suci.

“Perkhidmatan bayaran Dam dibuka mulai hari ini, 28 Mac sehingga 3 Julai 2025. Manakala penyertaan Korban bagi semua pendeposit TH dibuka dari 28 Mac hingga 31 Mei 2025,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tabung Haji turut memaklumkan bahawa pihaknya bekerjasama dengan The Kingdom of Saudi Arabia Project for Utilisation of Hady & Adahi (ADAHI) yang diiktiraf Kerajaan Arab Saudi sebagai penyedia haiwan sembelihan untuk urusan dam dan korban.

Sehubungan itu, bakal jemaah yang menunaikan Haji Tamattu’ dan Qiran digalakkan untuk menyelesaikan pembayaran Dam lebih awal bagi memudahkan kelancaran ibadah ketika berada di Tanah Suci.

Orang ramai turut diingatkan agar berhati-hati terhadap sebarang tawaran bayaran dam dan korban daripada pihak tidak bertanggungjawab atau agensi pelancongan yang meragukan.

GRACE AISYAH KEDAYAN