fb fb fb fb fb

Gegaran kecil dirasai di dua lokasi di Pulau Pinang

Gambar hiasan

GEORGE TOWN, 28 Mac – Dua lokasi berasingan di Pulau Pinang dilaporkan mengalami gegaran kecil petang tadi susulan gempa bumi yang berlaku di Myanmar.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya menerima dua panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian tersebut.

Menurut beliau, panggilan pertama diterima pada pukul 2.44 petang daripada seorang wanita yang melaporkan gegaran berlaku di SEGi College Penang.

Menurutnya, sepasukan lapan anggota termasuk seorang penyelia dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai digerakkan ke lokasi bersama sebuah jentera bagi melakukan pemeriksaan keselamatan.

“Panggilan kedua pula diterima pukul 3.00 petang daripada seorang lagi wanita yang memaklumkan gegaran dirasai di Bangunan Residensi, Butterworth.

“Sembilan anggota bersama sebuah jentera dari BBP Butterworth dihantar untuk pemantauan lanjut di kawasan terbabit,” katanya.

Mohamad Shoki berkata, hasil pemeriksaan awal di kedua-dua lokasi mendapati tiada kerosakan pada struktur bangunan dan tiada mangsa terlibat.

Beliau turut mengesahkan gegaran yang dirasai hanya gegaran kecil dan keadaan kembali selamat selepas pemantauan dijalankan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya kekal tenang dan segera melaporkan sebarang insiden mencurigakan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan bahawa gempa bumi kuat bermagnitud 7.4 melanda Myanmar tengah pada 2.21 petang.

MetMalaysia turut memaklumkan, gempa bumi berlaku pada jarak 55 kilometer (km) barat daya Mandalay, Myanmar, berkedalaman 57 km namun insiden itu tidak menyebabkan ancaman Tsunami kepada Malaysia.

GRACE AISYAH KEDAYAN