BATU BERENDAM, 28 Mac- Sebanyak RM426,000 sumbangan khas Perdana Menteri disalurkan kepada beberapa kategori terpilih di Melaka sempena Hari Raya Aidilfitri ini.
Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, ia merangkumi imam, masjid dan surau, asnaf, anak yatim serta bakal jemaah haji.
Beliau berkata, program berkenaan dianjurkan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dengan kerjasama strategik Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.
"Kerana itu bukannya dalam sumbangan yang tahunan, tetapi sumbangan khas Perdana Menteri dan ini menunjukkan keprihatinan YAB PM terhadap perkembangan dan syiar masjid terutamanya bulan Ramadan ini kepada komuniti kepimpinan imam di seluruh negeri Melaka", katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Rintis Komuniti Rakyat MADANI: Pra Syawal di Batu Berendam.
Program berkenaan diadakan di tiga lokasi dipilih di Melaka iaitu Masjid Nurul Hidayah, Batu Berendam, Masjid Safinah An-Najah, Tambak Paya Ayer Molek dan Masjid Ar Razzaq, Bachang Pengkalan Batu.