LABUAN, 16 November - Penganjuran Borneo Arts Festival (BAF) mampu menjadi pemangkin penting ke arah menjadikan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai hab penganjuran acara berimpak tinggi.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sambutan menggalakkan dengan hampir 40,000 pengunjung dari rantau Borneo, menjadi bukti BAF akan terus diperkasa sebagai acara tahunan bertaraf antarabangsa.
"BAF bukan sahaja mengangkat martabat seni Borneo, tetapi juga memperkukuh kedudukan Labuan sebagai pusat pelancongan dan ekonomi kreatif di rantau ini," kata beliau ketika merasmikan Majlis Perasmian Penutupan BAF 2025 di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan di sini.
Jelasnya, Labuan mampu menjadi simbol warisan sambil menyesuaikan diri dengan arus kemodenan, seiring aspirasi Malaysia MADANI berteraskan nilai kemanusiaan, kemajuan dan kesejahteraan sejagat.
"Saya akan menyokong bersama-sama untuk menjayakan program di Labuan ini, sebab saya mengisytiharkan Labuan sebagai kawasan angkat PETRA, jadi InsyaAllah kita akan bersama tahun depan," kata beliau.
Tambah beliau, BAF bukan sahaja memperlihatkan keunikan seni Borneo, tetapi juga mempamerkan kekuatan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, wadah penyatuan dan kekuatan sosial.
BAF 2025 edisi ke-12, dianjurkan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan, Perbadanan Labuan dan Perbadanan Putrajaya yang mengangkat tema “Warisan Seni Borneo; Jalinan Seni dan Cahaya”, sinergi antara tradisi dan inovasi, antara warisan dan kemodenan.
Sementara itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa dalam ucapan alu-aluan zahir kegembiraan atas sambutan yang diterima.
Setakat malam tadi, hampir 40,000 pengunjung dari rantau borneo direkodkan sekali gus melepasi sasaran sebanyak 30,000 pengunjung yang ditetapkan untuk lima hari bermula 13 November.
Jumlah itu dijangka terus meningkat sehingga hari terakhir penganjuran pada 17 November.
Hadir sama, Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman, Pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Mohd Husni Mohamad Salleh dan Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Fadlun Mak Ujud.