fb fb fb fb fb

546 notis saman dikeluarkan JPJ WPKL dalam Operasi Satria Jalanan

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL), Hamidi Adam bercakap pada sidang media selepas Operasi Satria Jalanan/ RTM

KUALA LUMPUR, 17 November – Sejumlah 546 notis saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) dalam Operasi Satria Jalanan, melibatkan pemeriksaan ke atas 277 kenderaan, dengan 65 daripadanya dikenakan tindakan.

Antara kesalahan utama dikesan adalah tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) sebanyak 122 notis saman, tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) sebanyak 90 notis saman, insurans tamat (85) dan tidak memakai helmet (75).

Operasi yang digerakkan selama dua jam bermula pukul 5.30 petang itu dilaksanakan susulan peningkatan aduan awam serta hasil risikan Unit Falcon JPJ WPKL berhubung kegiatan tunggangan motosikal ekstrem di sekitar Taman Koperasi Polis Fasa 1 dan Fasa 2 yang turut dijadikan lokasi ‘litar tidak rasmi’ oleh segelintir penunggang.

Menurut Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam, seramai 53 penunggang bawah umur turut ditahan, termasuk 16 daripadanya kanak-kanak berusia bawah umur 14 tahun.

“Hari ini barulah kita melaksanakan serbuan. Dalam risikan itu, kami dapati ada penunggang bawah umur, termasuk kanak-kanak seawal umur 13 tahun yang sering berada di lokasi berkenaan.

"Hari ini, seorang daripada mereka turut ditahan. Motosikal yang ditunggangnya dimaklumkan milik ibunya,” kata beliau pada sidang media selepas Operasi Satria Jalanan, di sini malam tadi.

Tambahnya, hasil risikan mendapati kawasan tersebut sering menjadi tumpuan penunggang motosikal, termasuk remaja, yang melakukan pelbagai aksi berbahaya seperti ‘superman’, ‘wheelie’, tunggangan 'zig-zag' serta perlumbaan haram, khususnya pada waktu petang dan malam.

Operasi bersepadu itu membabitkan 23 anggota JPJ WPKL termasuk Unit Falcon dan turut digerakkan 16 anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) bagi menyelaras kawalan lalu lintas dan keselamatan di lokasi operasi.

Hamidi turut menegaskan, menunggang motosikal bawah umur adalah kesalahan serius di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan individu bawah umur 16 tahun boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Pemilik motosikal atau ibu bapa juga boleh diambil tindakan kerana membenarkan individu tanpa lesen menunggang kenderaan mereka, sekali gus menyumbang kepada risiko kemalangan dan bahaya terhadap pengguna jalan raya lain di kawasan terlibat.

Sehubungan itu, orang ramai diseru untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang jalan raya melalui aplikasi MyJPJ (e-Aduan) atau e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Dalam pada itu, bersempena sambutan 'World Day of Remembrance for Road Traffic Victims 2025', JPJ WPKL menyeru semua pengguna jalan raya menghargai nyawa, mematuhi undang-undang dan menjauhi tingkah laku berisiko.

“Memandu atau menunggang melebihi had laju masih menjadi punca utama kemalangan jalan raya di Malaysia, meragut lebih 6,000 nyawa setiap tahun,” jelas Hamidi.

Sambutan tahun ini bertemakan “Investing in Safe Roads to Recover Our Lost Talents”, menekankan keperluan mewujudkan sistem jalan raya lebih selamat, khususnya bagi golongan belia yang berisiko tinggi, sebagai peringatan agar tragedi kemalangan tidak berulang.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN