fb fb fb fb fb

SMK Syed Sirajuddin, SK Convent Father Barre juara Junior Innovathon 2025, bawa pulang RM40,000

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (tengah) bersama para pemenang program akhir Junior Innovathon 2025 di Angkasapuri Kota Media, malam tadi/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 November - Kumpulan STEMSIRA dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Sirajuddin di Perlis, muncul juara kategori sekolah menengah pada program Junior Innovathon 2025 menerusi ciptaan inovasi alat pengesan dan penapis gas karbon monoksida (co-safe).

Bagi kategori sekolah rendah, kumpulan THE 3 'I' GENIUSES dari Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Father Barre, Kedah dinobatkan juara melalui inovasi Bag Me Up.

Kedua-dua juara membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000 berserta sebuah iPad.

"Kita dinobatkan sebagai juara adalah kegembiraan tidak terduga, daripada awal lagi kami bertungkus-lumus untuk menjayakan inovasi, bukan kami sahaja tapi ramai pihak yang turut membantu," jelas wakil juara, Muhammad Iqram Zulfiqqar Idris dari SMK Syed Sirajuddin.

"Saya harapkan sangat semoga kejayaan ini menjadi semangat kepada rakan-rakan di sekolah yang lain supaya nama Perlis terus naik di puncak, Insya-Allah," kata guru SMK Syed Sirajuddin, Wan Mohd Shakir Wan Nordin.

"Perasaan kami teruja dan sangat gembira sebab diumumkan sebagai juara dan setelah enam minggu berjuang dan berlatih, inilah hasilnya muncul juara," jelas pelajar SK Convent Father Barre, Nur Iva El Zahra Hairi Affendy.

"Insya-Allah semoga kejayaan kami ini akan membuka lebih banyak lagi kumpulan-kumpulan inovasi yang mampu menyelesaikan masalah, walaupun bukan masalah dunia tetapi masalah bagi saya yang 'simple' tapi realistik dan bagus untuk kegunaan masyarakat kita," kata guru SK Convent Father Barre, Dr. Mohammad Syafiq Abd Rahman.

Kemuncak program Junior Innovathon 2025 berlangsung di Angkasapuri Kota Media semalam, menyaksikan sepuluh pasukan terbaik daripada 50 pasukan sekolah rendah dan menengah dari seluruh negara berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir.

Menteri Kewangan II merangkap Pemangku Menteri Ekonomi, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan hadir menyaksikan dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Program Junior Innovathon 2025 tersebut dilihat bukan sahaja mencungkil bakat muda, malah menjadi platform penting bagi membudayakan inovasi dalam kalangan pelajar.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN