fb fb fb fb fb

Sultan Nazrin berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Deepavali Negeri Perak

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah (lapan, kiri) bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim (tujuh, kiri) berkenan bergambar pada Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Perak di Stadium Indera Mulia, Ipoh. Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (tiga, kiri)

IPOH, 27 Oktober - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Perak di Stadium Indera Mulia, di sini malam tadi.

Keberangkatan baginda berdua disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Majlis anjuran kerajaan negeri itu dimeriahkan dengan kehadiran lebih 15,000 pengunjung pelbagai kaum dalam suasana harmoni dan penuh semangat perpaduan.

Pada majlis sama, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 70 anak yatim daripada tujuh pusat jagaan sekitar negeri ini.

Antaranya Pusat Jagaan Nurul Iman, Pusat Pengurusan Pusat Jagaan 1 Malaysia Perak serta Pertubuhan Kebajikan Ehsan Kanak-Kanak Arutperum Jothi.

Dalam ucapannya, Datuk Seri Saarani menegaskan, Deepavali bukan sekadar pesta cahaya semata-mata, sebaliknya simbol kemenangan kebaikan, kasih sayang dan kemanusiaan sejagat.

Beliau berkata sambutan Deepavali menjadi titik tolak rakyat membetulkan keadaan dengan menyalakan semula pelita keinsafan dan kemanusiaan dalam diri masing-masing.

Tambah Datuk Seri Saarani, rakyat perlu menjadikan nilai kasih sayang sebagai cahaya dan perpaduan sebagai pelita demi negeri yang aman dan makmur.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN