KPDN Sarawak gagalkan cubaan seleweng 10,000 liter diesel di Bintawa

FOTO RTM

KUCHING, 2 April – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak menggagalkan cubaan menyeleweng 10,000 liter minyak diesel dalam satu serbuan di Bintawa, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rampasan dianggarkan bernilai lebih RM70,000.
  • Komoditi kawalan itu disimpan secara haram di sebuah premis kilang batu.
  • Seorang lelaki tempatan ditahan; gagal mengemukakan permit penyimpanan sah.
  • KPDN Sarawak merekod 42 kes penyelewengan Januari hingga Mac, melibatkan 225,471 liter; jumlah rampasan dianggarkan RM501,139.

Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata, rampasan itu dianggarkan bernilai lebih RM70,000.

Menurutnya, komoditi kawalan berkenaan disimpan secara haram di sebuah premis kilang batu.

Dalam serbuan kira-kira pukul 1 tengah hari itu, seorang lelaki tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Suspek gagal mengemukakan permit penyimpanan yang sah dan kita akan jalankan siasatan lanjut,” katanya kepada media selepas operasi tersebut.

Beliau berkata, pihaknya telah menjalankan risikan terhadap sindiket berkenaan sejak lebih sebulan lalu.

Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan serta rangkaian pengedaran diesel terbabit.

Dalam perkembangan sama, KPDN Sarawak merekodkan sebanyak 42 kes penyelewengan minyak melibatkan 225,471 liter petrol dan diesel bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini.

Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM501,139.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan tanpa permit sah.