Jangan lakukan pembakaran terbuka, elak risiko merebak – Uggah

Jangan lakukan pembakaran terbuka, elak risiko merebak – Uggah.

KUCHING, 2 APRIL – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka terutama di kawasan tanah gambut kerana ia mudah merebak susulan cuaca panas dan kering di Sarawak ketika ini, kata Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beberapa kebakaran dilaporkan di Mukah, Betong, Sarikei, Miri dan Lawas, berjaya dipadam melalui kerjasama pelbagai agensi.
  • Semua jawatankuasa pengurusan bencana bahagian dan daerah diarahkan bersiap siaga kerana musim kering baru bermula.
  • Dua cabaran utama: risiko kebakaran terbuka dan kekurangan bekalan air; pemantauan rapi dijalankan mengenal pasti kawasan berisiko.
  • Tindakan segera dengan agensi berkaitan, pengawasan satelit untuk titik panas, laporan orang awam digalakkan; bilik gerakan JPBNS dinaik taraf.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata beberapa hari lepas menyaksikan lapan lokasi kebakaran dilaporkan di Mukah, Betong, Sarikei, Miri dan Lawas, namun berjaya dipadamkan hasil kerjasama pelbagai agensi.

“Situasi ini merupakan amaran awal memandangkan musim kering baru sahaja bermula. Semua jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat bahagian dan daerah telah diarahkan supaya bersiap siaga,” katanya pada Majlis Penyerahan Bilik Gerakan Bencana Negeri (SDCC) daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada JPBNS di sini hari ini.

Beliau berkata dua cabaran utama dikenal pasti, iaitu risiko kebakaran terbuka dan kekurangan bekalan air, justeru pemantauan rapi sedang dijalankan bagi mengenal pasti kawasan berisiko.

Katanya tindakan segera akan diambil dengan kerjasama agensi berkaitan termasuk Jabatan Air Luar Bandar dan Jabatan Kerja Raya, selain menekankan peranan masyarakat dalam melaporkan kejadian kebakaran atau tanda awal bencana.

Uggah berkata agensi seperti Jabatan Alam Sekitar serta Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) terus memantau melalui teknologi satelit bagi mengesan titik panas dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setakat ini masih pada tahap sederhana.

Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri Sarawak turut memperkukuh kesiapsiagaan bencana dengan menaik taraf bilik gerakan JPBNS bernilai RM750,000 yang disalurkan oleh NADMA.- BERNAMA