fb fb fb fb fb

UiTM lancar nanosatelit kedua ke Stesen Angkasa Antarabangsa

UiTMSAT-2 merupakan nanosatelit pertama direka dan dibangunkan sepenuhnya oleh universiti ASEAN

SHAH ALAM, 26 Oktober – Universiti Teknologi MARA (UiTM) sekali lagi mencipta sejarah apabila berjaya melancarkan nanosatelit keduanya, UiTMSAT-2, ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) menerusi misi HTV-X1 yang berlepas menggunakan roket H3 F7 dari Tanegashima Space Center, Jepun pada pukul 8 pagi waktu Malaysia hari ini.

UiTM menerusi kenyataan berkata, pelancaran bersejarah yang disiarkan secara langsung oleh Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA) itu menandakan detik penting buat Malaysia dan ASEAN apabila UiTM mengetuai misi satelit serantau pertama di bawah inisiatif ASEANSAT.

"Kenderaan HTV-X1 dijangka berlabuh di ISS dalam tempoh 48 hingga 72 jam sebelum UiTMSAT-2 ditempatkan di orbit rendah Bumi pada suku pertama tahun depan.

"UiTMSAT-2 merupakan nanosatelit pertama direka dan dibangunkan sepenuhnya oleh universiti ASEAN, sekali gus mengangkat UiTM sebagai peneraju serantau dalam pembangunan teknologi angkasa dan diplomasi saintifik," menurut kenyataan itu hari ini.

Penasihat Utama Projek, Prof. Ir. Dr. Mohamad Huzaimy Jusoh, menyifatkan UiTM mencapai tahap kematangan dalam reka bentuk sistem satelit sepenuhnya sejajar aspirasi universiti untuk menjadi peneraju teknologi angkasa ASEAN menjelang 2030.

Sementara itu, Ketua Projek, Ts. Dr. Fatimah Zaharah Ali, menjelaskan UiTMSAT-2 bukan sekadar pelancaran satelit, tetapi lambang keupayaan UiTM melahirkan penyelidik muda berpotensi global hasil pelaburan strategik jangka panjang universiti.

UiTMSAT-2 bersaiz CubeSat 1U (10x10x11.35 sentimeter, 1.1 kilogram) dilengkapi kamera beresolusi tinggi dan sistem Internet of Things (IoT) berasaskan komunikasi satelit.

Antara objektifnya ialah pemerhatian Bumi, aplikasi IoT untuk pertanian pintar, fungsi store-and-forward bagi penghantaran data dari kawasan terpencil serta latihan penyelidik ASEAN dalam teknologi angkasa.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, menzahirkan penghargaan kepada seluruh pasukan penyelidik dan pelajar atas kejayaan tersebut.

“Pencapaian ini bukan sekadar kejayaan sains dan teknologi, tetapi simbol kekuatan UiTM dalam melahirkan bakat global dan memacu penyelidikan berimpak tinggi. UiTMSAT-2 membuktikan universiti tempatan mampu menjadi peneraju rantau ini dalam bidang angkasa dan inovasi masa depan,” katanya.

Beliau menegaskan UiTM akan terus memperkukuh peranan sebagai pusat kecemerlangan teknologi serantau, selaras dengan aspirasi menjadi universiti tersohor global menjelang 2025.

Projek tersebut dibiayai melalui Dana Kolaborasi Antarabangsa (ICF) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berjumlah RM500,000, dengan tambahan RM20,000 daripada Dana Perkongsian Penyelidikan Strategik (SRP) UiTM.

Filipina turut menyumbang USD40,000, manakala Thailand membantu menerusi sumbangan peralatan dan kepakaran teknikal.

Kerjasama dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) memperkukuh misi itu melalui pengesahan spesifikasi teknikal serta nasihat dasar bagi memastikan pematuhan kepada piawaian antarabangsa.

GRACE AISYAH KEDAYAN