fb fb fb fb fb

Kerajaan nilai potensi tenaga nuklear capai sasaran sifar bersih 2050

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir/RTM

KUALA LUMPUR, 27 November -Potensi tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada campuran tenaga negara sedang dinilai, bagi mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, tenaga nuklear dikenal pasti sebagai sumber tenaga 'baseload' yang bersih dan stabil.

Ia sekali gus mampu menyokong peningkatan keperluan elektrik serta mempercepat peralihan negara daripada pergantungan bahan api fosil.

Beliau juga berkata, kerajaan akan menumpukan penilaian terperinci merangkumi aspek dasar, teknikal, institusi, undang-undang, keselamatan, pembangunan bakat, ekonomi dan kesedaran rakyat sebelum keputusan dimuktamadkan.

"Kerajaan sedang menilai potensi tenaga nuklear secara terperinci, berhemat dan berperingkat sebagai salah satu pilihan dalam campuran tenaga negara selaras dengan sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050. Tenaga nuklear telah dikenal pasti sebagai salah satu teknologi berpotensi sebagai sumber tenaga baseload yang bersih dan stabil dalam menyokong peningkatan permintaan elektrik serta usaha peralihan tenaga daripada penggunaan bahan api fosil," katanya di Dewan Rakyat, menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.

Tambahnya, kerajaan telah melantik MyPower Corporation sebagai Nuclear Energy Program Implementing Organization (NAPIO) yang berperanan menyelaras dasar, pembangunan kapasiti, menilai kebolehlaksanaan teknikal dan ekonomi serta menyediakan kerangka kawal selia bagi program nuklear negara.

Dalam pembangunan kepakaran, program awal dijangka memerlukan 20 hingga 50 pegawai teknikal untuk NAPIO, manakala badan kawal selia pula memerlukan sehingga 150 pegawai, dengan keperluan tenaga kerja meningkat kepada 5,000 hingga 8,000 orang ketika fasa pembinaan loji tenaga nuklear pada masa hadapan.

Kerajaan turut meneliti keperluan Malaysia meratifikasi instrumen undang-undang antarabangsa berkaitan nuklear bagi memastikan pelaksanaan mematuhi piawaian keselamatan global.

TETITIA YUSOFF