KUALA LUMPUR, 27 November - Ketua Isi Rumah (KIR) terjejas banjir yang berdaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akan menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) dalam tempoh satu hingga tiga hari selepas PPS ditutup.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, penyaluran bantuan lebih cepat itu adalah sebahagian penambahbaikan yang dilaksanakan bagi musim Monsun Timur Laut (MTL) 2025-2026.
"Pembayaran akan dibuat secara terus melalui Bank Simpanan Nasional (BSN), berdasarkan pendaftaran ketua isi rumah melalui sistem MyInfo Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya ketika menjawab soalan ahli Parlimen Padang Terap di Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, RM7 juta diperuntukkan kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri dan agensi penyelamat, bagi pengurusan operasi bencana sepanjang tempoh MTL.
Dalam pada itu, dakwaan kononnya usaha pihak tertentu menyalurkan sumbangan kepada penduduk terjejas banjir di PPS, telah dihalang atau disukarkan JKM, adalah tidak benar.
Tegas beliau, insiden berkaitan terjadi berkemungkinan disebabkan salah faham.
Kerajaan mengalu-alukan usaha mana-mana pihak untuk membantu penduduk terjejas banjir, bagaimanapun sebarang sumbangan perlu disalur melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).
Langkah itu bagi membolehkan jenis dan kuantiti bantuan direkodkan, sekaligus memudahkan penyelarasan usaha pengagihan dan mengelak pertindihan mahupun pembaziran.