KUALA LUMPUR, 27 November - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan penghargaan terima kasih kepada rakan sejawatnya dari Thailand, Anutin Charnvirakul atas keprihatinan dalam membantu rakyat Malaysia yang terkandas akibat banjir di wilayah terjejas di negara itu.
Beliau menerusi hantaran Facebook memaklumkan, tindakan itu jelas mencerminkan kekuatan hubungan dua hala yang telah lama terjalin.
"Tindakan ini mencerminkan kekuatan hubungan dua hala yang telah lama terjalin, serta semangat solidariti yang amat kita hargai.
"Malaysia dan Thailand akan terus bekerjasama rapat demi keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara," menurut hantaran itu.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa kerajaan sedang berusaha untuk memastikan setiap rakyat Malaysia yang masih terkandas dapat pulang ke tanah air dengan selamat.