fb fb fb fb fb

Lebih 1.5 juta pengunjung hadiri NS FEST 2025

Datuk Seri Aminuddin Harun/ BERNAMA

NILAI, 1 Januari - ‎Seramai 1.5 juta pengunjung menghadiri NS FEST 2025 yang melabuhkan tirainya malam tadi di Dataran Nilai di sini sekali gus membuktikan kesediaan Negeri Sembilan melangkah ke Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.

‎Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, penganjuran festival berskala besar yang merangkumi aspek budaya, ekonomi dan sosial itu bukan sahaja menjadi platform pertemuan rakyat, malah berfungsi sebagai pemangkin ekonomi tempatan serta simbol kebersamaan warga Negeri Sembilan tanpa mengira latar belakang.

Ia turut menyentuh mengenai kepentingan inisiatif NS Choice dan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026, yang disasarkan untuk menarik 8.2 juta pengunjung dan membuka peluang pekerjaan baharu.

"NS FEST 2025 telah berjaya menarik kehadiran lebih 1.5 juta pengunjung melebihi jumlah sasaran oleh Kerajaan Negeri yang menyasarkan 1.4 juta pengunjung.

"Jumlah kutipan jualan keseluruhan mencecah RM 7.95 juta ‎dan membuktikan minat tinggi masyarakat terhadap pelbagai aktiviti dianjurkan. Ia termasuk pameran, persembahan seni, aktiviti kanak-kanak, jualan produk tempatan dan perkhidmatan kerajaan," katanya.

‎Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penutup NS Fest 2025 dan sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 di Dataran Nilai di sini.

‎NS FEST 2025 juga menitikberatkan kesejahteraan sosial melalui program inklusif melibatkan kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), belia dan wanita, selain pelaksanaan inisiatif Jualan RAHMAH MADANI dan Karnival Back-To-School bagi meringankan kos sara hidup rakyat.

‎Kejayaan NS FEST 2025 membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam mengimbangi pembangunan ekonomi, pemeliharaan budaya dan kebajikan rakyat secara inklusif.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI