KUALA LUMPUR, 1 Januari - Ambang tahun baharu 2026 disambut meriah dengan kehadiran pengunjung tempatan dan antarabangsa yang menjadikan ibu negara sebagai lokasi tumpuan.
Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd, syarikat pengurusan Menara Kuala Lumpur Khairil Faizal Othman sambutan kali ini menawarkan pelbagai tarikan khasnya pertunjukkan bunga api yang unik dengan pesona dan ritma tersendiri.
"Dengan keunikan kedudukan KL Tower di atas Bukit Nenas, kita dapat merasai kehebatannya dengan pengalaman yang, bagi saya, sukar untuk dibandingkan," katanya.
Bagi pelancong dari Afrika Selatan, Khanyisa Makahane ini pengalaman kali ke empat beliau menyambut tahun baharu di Malaysia.
"Pertama sekali pertunjukan bunga api.. Saya datang tahun lepas tetapi ketika itu saya tidak berada di lokasi tepat. Jadi, saya memutuskan untuk kembali, mencari lokasi lebih baik dan pertunjukkan bunga api," katanya.
Rakan Makahane, Melba Bezuidenhout begitu teruja menyambut tahun baru dengan berlatarbelakangkan panorama bandaraya Kuala Lumpur yang memukau.
"Saya suka Malaysia. Negara ini sangat cantik, dan bangunan-bangunan di sekitarnya menakjubkan. Saya juga akan cuba menikmati kehidupan malam di sini," katanya.
Bagi Hannah Norbaqqa Syarul Mohd Norbaqqa, lokasi menyambut tahun baharu sinonim dengan bandaraya Kuala Lumpur.
"Setiap tahun, saya memang akan cari tempat untuk sambut tahun baharu. Tahun 2025 saya di TRX, dan kali ini saya pilih Menara KL kerana saya lihat banyak iklan mengenai tempat ini. Dari sini, kita boleh nampak banyak lagi bunga api di lokasi lain kerana di sekelilingnya sangat cantik," katanya.
Seorang lagi pengunjung, Putera Muhammad Firdaus Anuar memilih Menara Kuala Lumpur kerana mahukan lokasi yang tidak sesak dan privasi.
"Ini kali pertama saya datang ke sini. Saya pilih tempat ini sebab kebetulan ada edaran yang diterima, jadi memang ada tertera maklumat berkenaan sambutan Tahun Baharu di sini.
"Saya tak pernah datang sebelum ini, jadi saya cuba ke sini. Setelah sampai, saya berasa puas hati sebab suasananya lebih privasi," katanya.
Bagi pelancong dari Singapura, Suresh Darunesh pengalaman kali ketiga menyambut tahun baharu di Malaysia.
"Tiga tahun lepas kami datang ke sini untuk sambut tahun baharu. Suasana sangat menyeronokkan dan mengujakan. Jadi, setiap tahun kami akan datang untuk menyambutnya," katanya.
Tepat memasuki 1 Januari 2026, langit di Menara Kuala Lumpur dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api dan suar cahaya yang indah dan mengkagumkan.
Ia simbolik mengalu-alukan Tahun Melawat Malaysia 2026 sekali gus memperkukuh peranan sebagai ikon pelancongan nasional.
