Lori muatan simen terbalik, pemandu maut

Kemalangan berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi di laluan dari Felda Cherul, Kemaman menuju ke Bukit Sagu, Kuantan

KEMAMAN, 6 April – Seorang pemandu lori maut selepas lori treler yang dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik dalam satu kemalangan di Kemaman, Terengganu pada pagi Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemandu lori maut selepas treler muatan simen dipercayai hilang kawalan dan terbalik.
  • Treler itu sebahagiannya terjunam ke dalam gaung hampir dua puluh meter.
  • Bomba mengambil masa kira-kira empat jam mengeluarkan mangsa; mangsa dibawa ke hospital dan mayat dihantar ke unit forensik.

Dalam kejadian itu, mangsa Muhammad Zul Adam Abdullah, 21 tahun, disahkan meninggal dunia selepas hampir tiga jam menerima rawatan di Unit Kecemasan, Hospital Kemaman.

Kemalangan berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi di laluan dari Felda Cherul, Kemaman menuju ke Bukit Sagu, Kuantan.

Kemalangan dipercayai berlaku selepas lori membawa muatan simen itu dipercayai hilang kawalan ketika melalui satu selekoh di laluan berkenaan.

Treler dipandu mangsa kemudiannya dikatakan terbalik dan sebahagian dari bahagian lori itu terjunam ke dalam gaung setinggi hampir dua puluh meter.

Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh Baharu yang menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 11.41 pagi berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu kira-kira empat jam kemudian.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman untuk menerima rawatan selepas mengalami kecederaan pada bahagian kaki.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik hospital sama untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.