KUALA LUMPUR, 27 November -Seramai 1,906 pelajar kini mengikuti program automotif Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sepenuh masa.
Manakala 3,097 tenaga kerja sedia ada telah menjalani latihan peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM) hingga 31 Oktober lalu.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, inisiatif itu penting bagi memastikan negara terus melahirkan tenaga mahir yang memenuhi keperluan industri automotif, selaras dengan perkembangan teknologi baharu dan kenderaan elektrik (EV) yang semakin berkembang.
Menjawab pertanyaan tambahan Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun dalam Dewan Rakyat hari ini, beliau memaklumkan bahawa kerajaan kini memperkukuh latihan TVET automotif melalui penubuhan PROTON Institute (PI) hasil kerjasama strategik antara JTM dan PROTON Holdings Berhad.
"Melalui kerjasama ini, ADTEC Melaka telah dijenamakan semula sebagai PROTON Institute (PI) dengan penekanan kepada pembangunan bakat dalam teknologi automotif termaju negara. Pelajar bukan sahaja mendapat latihan yang relevan dengan teknologi terkini, malah dijamin peluang pekerjaan di PROTON Tanjung Malim, PROTON Edar dan syarikat vendor PROTON di seluruh negara," katanya.
PROTON Institute bakal dilengkapi kemudahan latihan lengkap termasuk pusat servis, pusat jualan serta ruang latihan DOJO, sekali gus memastikan pelajar menerima latihan hands-on selaras dengan standard industri sebenar.
Menerusi pelaksanaan ini, kerajaan menyasarkan 100 peratus kebolehpasaran graduan, sekaligus mempercepat pengeluaran tenaga kerja mahir bagi memenuhi permintaan industri automotif negara.