fb fb fb fb fb

Usaha penyelamatan di Thailand, cermin semangat ASEAN

Keadaan banjir di Thailand/ REUTERS

KUALA LUMPUR, 27 November - Usaha menyelamat susulan banjir besar di selatan Thailand; yang turut melibatkan rakyat tempatan serta warga Brunei, Singapura dan Indonesia mencerminkan semangat negara-negara ASEAN.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia dilaksanakan selaras semangat antara negara serantau dengan kerjasama pihak berkuasa Thailand, Kedutaan Besar Malaysia dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

Proses membawa pulang rakyat Malaysia telah bermula sejak semalam menggunakan kontena berikutan laluan dari Sadao ke Bukit Kayu Hitam tidak boleh dilalui kenderaan ringan, termasuk bas.

"Mohon maaf, saya ingin memaklumkan bahawa kita terpaksa menggunakan kontena kerana lori-lori kecil tidak dapat melalui laluan berkenaan. Kami membawa ramai orang dalam kontena ke Bukit Kayu Hitam, kerana laluan sebelum ini masih belum boleh dilalui kenderaan ringan. Beberapa kontena telah digunakan, dan hari ini kita menggunakan bas yang lebih mudah dilalui.

"Kami berharap dapat menyelamatkan semua rakyat, termasuk warga dari Brunei, Singapura dan Indonesia, atas semangat kerjasama ASEAN," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan yang dikemukan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi berkenaan usaha kerajaan dalam membantu rakyat Malaysia yang
terkandas di Selatan Thailand susulan banjir serta langkah-langkah percegahan bagi memastikan rakyat Malaysia lain tidak berdepan situasi sama.

Operasi penyelamatan memasuki fasa lebih aktif berikutan cuaca semakin baik sejak semalam dan pagi tadi.

Sementara itu beberapa bot bantuan pihak berkuasa Thailand turut digerakkan bagi menyelamatkan rakyat Malaysia yang terperangkap di tiga buah hotel berhampiran sungai, termasuk pelajar dan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pada masa sama, Kementerian Luar menasihatkan rakyat Malaysia agar menangguhkan perjalanan ke kawasan kerap dilanda banjir pada musim tengkujuh bagi mengelakkan insiden sama berulang.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI