fb fb fb fb fb

Pendaftaran awal anak OKU, pastikan pemulihan lebih efektif

Pathmanathan R.Nalasamy

KUALA LUMPUR, 27 November - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menggesa ibu bapa dan penjaga supaya mendaftarkan anak-anak kurang upaya (OKU) pada peringkat awal bagi memastikan pemulihan dapat dijalankan dengan lebih efektif.

Menurut Pengarah Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya JKM Pathmanathan R.Nalasamy, stigma dan penafian dalam kalangan keluarga masih menjadi penghalang utama berkenaan perkara itu.

“Ada ibu bapa yang menunggu sehingga lima atau enam tahun sebelum mendaftarkan anak sebagai OKU. Ini agak lewat kerana intervensi awal sangat penting," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini hari ini.

Pengesanan awal melalui pakar perubatan boleh membantu mempercepatkan proses pemulihan dan sokongan yang diperlukan.

Pada masa sama, Malaysia turut bersiap sedia menyambut Hari Orang Kurang Upaya peringkat kebangsaan pada 3 Disember serentak dengan sambutan peringkat antarabangsa.

Tema sambutan itu ialah 'Masyarakat Inklusif OKU, Kunci Kemajuan untuk Masyarakat' dengan pelbagai program di Perbadanan Putrajaya antaranya pertandingan sajak dan audio siar.

Acara kemuncak melibatkan penyampaian anugerah serta ucapan perasmian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

JKM menegaskan bahawa OKU perlu sentiasa dilibatkan dalam setiap proses berkaitan pendidikan, pekerjaan dan pembangunan negara.

"OKU juga warganegara kita dan mereka berhak menikmati kehidupan seperti orang lain. Jangan pinggirkan mereka," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI