fb fb fb fb fb

Insiden Gunung Liang: Perak perketat keselamatan pendakian

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh/BERNAMA

IPOH, 27 November – Kerajaan Perak memperkukuh aspek keselamatan pendakian di negeri itu susulan insiden kematian seorang pendaki di Gunung Liang baru-baru ini.

Langkah itu melibatkan kerjasama rentas negeri bagi menyelaras tatacara pendakian, termasuk penggunaan malim gunung, keperluan permit dan prosedur keselamatan yang seragam.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) sedang merangka pelaksanaan Kajian Risiko Kemalangan dan Bencana di kawasan pendakian.

Kajian itu bertujuan menilai faktor kritikal seperti kestabilan cerun, laluan berbahaya, risiko kepala air, perubahan cuaca serta titik panas insiden di trek pendakian dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK).

“Sebagai langkah kawalan tambahan, JPNPk sedang melaksanakan kajian had daya tampung kawasan pendakian tumpuan di negeri Perak melalui peruntukan Pemindahan Peruntukan Kewangan Berasaskan Alam Sekitar (EFT).

"Dua kajian telah disiapkan di daerah Hutan Kinta/Manjung dan Perak Selatan, dua lagi sedang dijalankan di Hulu Perak dan Kuala Kangsar, manakala satu lagi di Larut dan Matang dijadualkan pada tahun 2026,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Buntong, M. Thulsi Thivani, pada Persidangan Dewan Negeri Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Saarani memaklumkan 11 individu telah dipanggil bagi membantu siasatan kes kematian pendaki di Gunung Liang.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 47(1) Enakmen Akta Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 kerana memasuki Hutan Simpanan Kekal tanpa permit.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN