PUTRAJAYA, 1 Januari - Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 di Putrajaya disambut meriah dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat.
Acara itu diadakan bersekali dengan Festival LENTERA dan peluncuran Pesona 3 Wilayah (Pesona 3W) di Putrajaya mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh perpaduan, memperkasa industri pelancongan.
Ia dilihat sebagai medium dalam mengangkat identiti Wilayah Persekutuan sekali gus menjadikan Putrajaya sebagai pentas utama penganjuran acara nasional dan antarabangsa.
Sementara itu peluncuran Pesona 3W dilihat sebagai satu inisiatif penjenamaan pelancongan bersepadu yang menyatukan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bawah satu jenama utama dengan slogan #3Cerita1Jiwa.
Inisiatif itu menggabungkan daya tarikan Kuala Lumpur sebagai bandar moden, Putrajaya sebagai pusat pentadbiran hijau dan Labuan dengan keunikan maritim bagi membentuk pakej pelancongan lengkap dan menyeluruh.
Festival LENTERA 2025 pula menyasarkan kehadiran lebih 150,000 pengunjung dengan tema 'Warisan & Masa Depan' di Anjung Floria berlangsung selama 10 hari bermula 26 Disember 2025 hingga 4 Januari ini.
Festival cahaya berskala besar itu menjanjikan pengalaman menarik antaranya pertunjukan bot berhias bercahaya, taman berdekorasi bercahaya, persembahan kebudayaan, reruai serta pelbagai lagi Selaras dengan konsep Sisiran Tasik Putrajaya
Penglibatan rakan strategik dan penaja daripada sektor awam serta swasta dijangka memberi impak positif kepada sektor pelancongan dan ekonomi setempat, selain memperkukuh imej Putrajaya sebagai destinasi pelancongan bandar bertaraf antarabangsa.
