fb fb fb fb fb

Pengguna LLB sambut baik pengekalan kadar tol 2026

Foto BERNAMA

BUTTERWORTH, 1 Januari - Keputusan kerajaan mengekalkan kadar tol di sepuluh lebuh raya utama bagi tahun 2026 bermula hari ini disambut baik oleh pengguna Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB).

Pengguna menyifatkan langkah itu sebagai tanda keprihatinan kerajaan dalam memahami tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat, khususnya golongan pekerja yang berulang-alik menggunakan lebuh raya hampir setiap hari.

Bagi penduduk setempat, kestabilan kadar tol amat penting bagi menjamin peruntukan pengangkutan harian sekali gus membantu mengimbangi kos sara hidup masa kini.

Seorang pengguna, Suriani Zakaria berkata, pengekalan kadar tol memberi kelegaan kepada pekerja sepertinya yang menggunakan lebuh raya berkenaan setiap hari untuk ke tempat kerja.

“Syukurlah tol dekat sini tak naik. Saya bekerja di Bukit Minyak dan memang hari-hari guna laluan ini. Bila kadar tol dikekalkan, sekurang-kurangnya kos ulang-alik seperti tol dan minyak dapat dijimatkan. Kerajaan nampak faham keadaan rakyat,” katanya.

Kelegaan sama turut dirasai golongan warga emas dan pesara yang kini bergantung kepada lebuh raya untuk urusan harian dan keluarga.

Menurut Amran Ahmad, yang telah bersara, kenaikan kadar tol akan memberi kesan besar kepada perbelanjaannya.

“Saya dah bersara, jaga cucu saja. Kadang-kadang perlu ke Pulau Pinang dan tempat lain, memang guna tol. Kalau kadar tol naik, susah. Jadi bila dikekalkan, memang melegakan,” katanya.

Sementara itu, Sharifah Hashim berkata, pengekalan kadar tol amat membantu terutama kepada penduduk yang berulang-alik bekerja setiap hari.

“Kalau kadar tol naik, beban kewangan tentu bertambah. Jadi bila tak naik, itu lebih baik untuk kami, khususnya penduduk sekitar Pulau Pinang,” ujarnya.

Dalam pada itu, sebahagian pengguna berpandangan peningkatan jumlah trafik sedia ada sudah memadai untuk menampung kos operasi dan penyelenggaraan lebuh raya tanpa perlu menaikkan kadar tol.

Jalil Muda berkata, pertambahan kenderaan di jalan raya seharusnya mampu menampung kos penyelenggaraan lebuh raya pada kadar tol sedia ada.

“Dengan jumlah pengguna yang semakin ramai, saya rasa kadar tol sekarang sudah mencukupi untuk menampung kos penyelenggaraan,” katanya.

Sebelum ini, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan kerajaan menanggung implikasi kewangan sebanyak RM591 juta bagi mengekalkan kadar tol berkenaan, sekali gus memberi manfaat kepada hampir satu juta pengguna lebuh raya setiap hari di seluruh negara.

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI