IPOH, 27 November - Beberapa dasar dan program baharu sedang dirangka kerajaan negeri Perak bagi menangani isu haiwan jalanan dalam usaha membentuk ekosistem jangka panjang lebih teratur dan berkesan.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng Shy Ching berkata, ia termasuk pelaksanaan program microchipping dan pindaan Undang-Undang Kecil (UKK) Pelesenan Anjing.
Turut akan dilaksanakan ialah sistem pemetaan pemberi makanan bertujuan menyelaras usaha individu yang memberi makanan kepada haiwan jalanan.
"Melalui rangkaian ini, para pemberi makanan kepada haiwan jalanan ini boleh menjadi mata dan telinga kerajaan.
"Membantu tindak balas aduan dengan lebih pantas serta menyumbang data populasi yang lebih tepat. Ini mengubah peranan mereka daripada usaha bersendirian kepada sebahagian daripada penyelesaian menyeluruh," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan, Dr. Hashim Bujang pada Persidangan Dewan Negeri Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.
Dalam pada itu, sebanyak 544 ekor anjing dan 376 ekor kucing telah berjaya dimandulkan setakat 17 Ogos lalu menerusi pelaksanaan kempen pemandulan bersubsidi Perak Pawsitive Initiative.
Selain itu, 567 lesen anjing dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mencerminkan peningkatan pemilikan haiwan yang lebih bertanggungjawab.