GEORGE TOWN, 27 November - Persidangan Mahkamah Rayuan secara litar kini kembali diaktifkan di Mahkamah Pulau Pinang bagi zon utara bakal memberi manfaat ketara dari segi logistik termasuk kos dan risiko semasa perjalanan sekali gus membolehkan rakyat mendapat akses lebih mudah kepada sistem keadilan.
Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, ia juga bakal memberi peluang kepada peguam muda untuk mempelajari teknik penghujahan secara lisan dengan teliti dan berkesan selain menyaksikan proses rayuan secara maya tanpa perlu ke Istana Kehakiman di Putrajaya.
Pada masa sama memahami aspek penyediaan memorandum rayuan dan implikasinya ketika pendengaran rayuan tersebut.
"Dari sudut logistik, faedahnya jelas. Selama berdekad-dekad, para peguam dan litigan dari negeri-negeri utara tiada pilihan selain ke Putrajaya untuk menghadiri pendengaran kes rayuan, sering kali melibatkan kos dan cabaran yang besar.
"Hari ini, kita mendekatkan keadilan kepada rakyat. Ini bukan sekadar soal jarak atau kemudahan geografi; ia adalah usaha memastikan sistem perundangan kita lebih mudah diakses, lebih responsif dan lebih peka terhadap keperluan litigan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Persidangan Mahkamah Rayuan Secara Litar di Kompleks Mahkamah Pulau Pinang di sini.
Dalam pada itu beliau memaklumkan bahawa pelantikan lebih ramai pesuruhjaya kehakiman diperlukan di mahkamah seluruh negara bagi membantu mengurangkan bebanan kes yang tinggi.
Bagaimanapun menegaskan langkah itu hanya penyelesaian jangka pendek dan memerlukan satu penyelesaian lebih menyeluruh.
"Kami tidak mahu mengambil tindakan secara tergesa-gesa. Terdapat penyelesaian lain seperti pengantaraan dan pengantaraan berasaskan mahkamah yang dapat membantu mengurangkan beban kes. Usaha ini sedang berjalan. Pada masa ini, kami dalam proses melantik ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan akan meneliti keperluan melantik lebih ramai hakim serta pesuruhjaya kehakiman.
"Namun begitu, penambahan hakim bukan satu-satunya penyelesaian. Ada langkah-langkah lain untuk mengimbangi beban kerja. Sebagai contoh, di Johor Bahru terdapat seorang hakim yang mengendalikan sekitar 800 kes, suatu jumlah yang secara manusiawi mustahil untuk diteliti sebagai kes aktif. Lazimnya, seorang hakim mengurus antara 200 hingga 250 kes," katanya lagi.