KUANTAN, 27 November - Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di kawasan perairan negara menjadi keutamaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah memaklumkan, langkah itu diambil mengambil kira jangkaan laut bergelora sepanjang tempoh MTL, yang memberi risiko tinggi terhadap keselamatan komuniti maritim terutamanya nelayan.
"Nelayan-nelayan tempatan daripada Kelas A sehingga C dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati semasa ke laut dengan memastikan kelengkapan penting seperti Alat Pengesan Lokasi Individu (PLB) dibawa bagi memudahkan operasi SAR jika berlaku sebarang insiden tidak diingini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Kursus Asas Komando Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Siri 1/2025 di sini, hari ini.