fb fb fb fb fb

1.8 juta individu terima manfaat MySalam

Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 November - Seramai 1.8 juta individu telah menerima manfaat skim perlindungan kesihatan mySalam sejak ia dilancarkan pada 2019 sehingga September tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, manfaat tersebut meliputi tuntutan peranti perubatan, hospitalisasi, penyakit kritikal dan pesakit di bawah siasatan (PUI) Covid-19 yang sudah tamat tempoh.

"Tuntutan penyakit kritikal mencatatkan perbelanjaan tertinggi dengan nilai keseluruhan RM658 juta, memanfaatkan sebanyak 82,000 penerima. Bagi manfaat hospitalisasi pula, sebanyak 1.22 juta individu menerima manfaat dengan jumlah tuntutan RM378 juta," katanya pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat.

Jelas Hui Ying lagi, baki dana mySalam sehingga September 2025 adalah sebanyak RM490.8 juta.

Inisiatif ini membabitkan penyediaan perlindungan kesihatan takaful percuma kepada individu B40 yang juga penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) antara 18 hingga 65 tahun serta pasangan mereka.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang meneliti cadangan memperluas penerima manfaat MySalam kepada golongan berpendapatan sederhana.

Ia komitmen kerajaan untuk membantu golongan berkenaan dalam menguruskan beban kos rawatan dan kecemasan perubatan.

ANDY REZA ROHADIAN BIN KHAIRUL ANWAR