fb fb fb fb fb

Kuota data 5GB percuma eratkan silaturahim di Aidilfitri - Fahmi

Fahmi Fadzil/RTM

PUTRAJAYA, 26 Mac- Pemberian kuota data percuma minimum 5GB sempena Hari Raya Aidilfitri pertama menerusi Insentif Rebat RAHMAH diharap dapat mengeratkan silaturahim, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata inisiatif julung kali itu merupakan usaha strategik Kementerian Komunikasi dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi sejajar dengan aspirasi kerajaan yang menitikberatkan nilai ihsan kepada rakyat.

"Pemberian insentif ini diharap dapat membantu mengeratkan silaturahim terutama menerusi komunikasi dalam talian, di samping memeriahkan sambutan Aidilfitri tahun ini," katanya dalam sidang media mingguan pasca kabinet di sini, hari ini.

Insentif berkenaan melibatkan pemberian kuota data bagi tempoh minimum 24 jam tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi terlibat.

Antara syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang menyertai inisiatif ini termasuk CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech, YTL Communications, Pavo Comms, Tune Talk, Red One, Red Tone dan XOX Com.

Fahmi turut menegaskan bahawa insentif tersebut tidak melibatkan sebarang dana kerajaan, sebaliknya inisiatif syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang terlibat.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA