KUALA LUMPUR, 27 November -Usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Hat Yai, Thailand susulan banjir terus dipergiat.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, setakat pagi ini, Konsul Jeneral Malaysia melaporkan sebanyak 177 rakyat Malaysia berjaya diselamatkan.
Mereka yang diselamatkan termasuk sekumpulan pensyarah dan penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terperangkap di kawasan Old Hatyai City, iaitu lokasi yang paling teruk terjejas
Dalam pada itu, pihak berkuasa turut menganggarkan kurang daripada 500 rakyat Malaysia masih berada di kawasan terjejas dan operasi penyelamatan diteruskan hari ini.
"Sehingga akhir 26 November, Jabatan Imigresen Malaysia merekodkan seramai 2,204 rakyat Malaysia telah melakukan pergerakan rentas sempadan di Bukit Kayu Hitam, Sungai Burung dan Wang Kelian.
"Sementara itu, beberapa operasi menyelamat yang diselaraskan oleh Kedutaan Malaysia dan Pejabat Konsulat Jeneral berjaya membawa keluar 517 rakyat Malaysia dari 22 hotel, inap desa dan beberapa lokasi lain.
"Operasi menyelamat tersebut turut melibatkan pasukan Taulak PBS Persatuan Bulan Sabit Six United serta beberapa sukarelawan, yang menggerakkan sekurang-kurangnya 18 perjalanan bas dari Hatyai ke Bukit Kayu Hitam," katanya di Dewan Rakyat, menjawab pertanyaan yang dikemukan oleh Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu.
Beliau turut memaklumkan; seramai 27,199 rakyat Malaysia telah keluar dari Thailand antara 22 hingga 25 November, berikutan keadaan banjir yang semakin buruk.
Selain itu, kehadiran sukarelawan Malaysia termasuk dari Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dari Perlis, Kedah dan Perak Utara turut digerakkan bagi membantu usaha menyelamat.