fb fb fb fb fb

5GB data percuma pada Hari Raya pertama

Gambar hiasan

PUTRAJAYA, 26 Mac – Semua pengguna perkhidmatan telekomunikasi prabayar dan pascabayar bakal menerima kuota data percuma minimum 5GB sempena Hari Raya Aidilfitri pertama menerusi Insentif Rebat RAHMAH.

Kementerian Komunikasi berkata, insentif itu sah digunakan untuk tempoh minimum 24 jam pada 1 Syawal.

"Ini tertakluk kepada terma serta syarat ditetapkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang mengambil bahagian," menurut kenyataan itu pada Rabu.

Antara syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang terlibat iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech, YTL Communications, Pavo Comms, Tune Talk, redONE, REDtone dan XOX Com.

"Langkah ini merupakan hasil kerjasama strategik dengan syarikat telekomunikasi dan selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang mengutamakan nilai ihsan serta menggalakkan hubungan silaturahim dalam kalangan rakyat melalui komunikasi dalam talian, khususnya pada musim perayaan," tambahnya.

Maklumat lanjut berkaitan insentif ini akan diumumkan oleh pihak penyedia perkhidmatan.

Manakala senarai soalan lazim (FAQ) boleh dirujuk melalui laman sesawang Kementerian Komunikasi di pautan: https://www.komunikasi.gov.my/en/awam/faq

GRACE AISYAH KEDAYAN